Pesawat terpaksa buat ’emergency landing’ gara-gara kucing mengamuk masuk kokpit, serang ‘pilot’

Pesawat terpaksa buat ’emergency landing’ gara-gara kucing mengamuk masuk kokpit, serang ‘pilot’

Sebuah pesawat penumpang di Sudan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas seekor kucing mengamuk dan menyerang juruterbang di kokpit.

Lapor Metro, pesawat yang dalam penerbangan menuju ke Doha di Qatar terpaksa berpatah balik ke Khartoum, pada Rabu lalu.

Beberapa media tempatan melaporkan, kucing tersebut berjaya menyelinap masuk ke dalam ruang kabin juruterbang sebelum pesawat berlepas.

Menurut akhbar tempatan Al-Sudani, kucing itu kemudian  bertindak agresif sehingga menyerang juruterbang apabila anak kapal cuba menangkap haiwan tersebut.

Kekecohan itu menyebabkan juruterbang membuat keputusan untuk berpatah balik.

Pesawat Tarco Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum dan berada di udara kira-kira 30 minit sebelum kejadian itu berlaku.

Terdapat laporan yang mendakwa kucing itu mungkin menyelinap masuk ke dalam kapal terbang ketika kerja-kerja pembersihan atau pemeriksaan kejuruteraan dilakukan tanpa disedari mana-mana individu.

Bagaimanapun, laporan itu masih belum disahkan.

Dilaporkan, pesawat itu diparkir di sebuah hangar di lapangan terbang pada malam sebelumnya. – UO