Penghisap vape tegar sempat beri pesanan terakhir sebelum meninggal dunia

Penghisap vape tegar sempat beri pesanan terakhir sebelum meninggal dunia
Seorang lelaki berusia 44 tahun yang mengalami komplikasi jantung serius selepas bertahun-tahun menghisap vape sempat merakam mesej menyayat hati menyeru orang ramai berhenti daripada tabiat itu, hanya beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia pada 7 Mei lalu.
Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok @radzirockrider, pesara tentera udara itu, yang dikenali sebagai ‘Abang Rock’, atau nama sebenarnya, Mohd Radzi Mustaffa, berkongsi bagaimana tekanan kerja membawanya kepada amalan menghisap vape, sehingga jantungnya hanya berfungsi pada kadar tiga peratus.
“Dua minggu lalu (sebelum rakaman video dibuat, 28 April lalu), Abang Rock dimasukkan di wad ni disebabkan apa? Jantung… jantung lemah. Dia (jantung) dah lemah. (Fungsi) jantung tinggal tiga peratus sahaja untuk hidup. So (Jadi), tiga peratus untuk hidup. Ah, cuma tinggal kata-kata wasiat saja,” kata Abang Rock sambil batuk dan kelihatan lemah dalam rakaman video itu.
Beliau turut menunjukkan beg saliran perubatan berisi cecair kekuningan yang dikeluarkan dari paru-parunya, sambil berkata: “Ni dia! Kuning! Air jambu batu! Selagi tak jernih, selagi tu saya tak keluar dari wad. Apa benda ni? Inilah yang duduk dekat paru-paru saya yang melemahkan jantung. Sampai (fungsi) jantung tinggal tiga peratus.”
Abang Rock yang juga seorang penghisap vape tegar selama empat tahun mengakui, “kalau ride (menunggang motosikal) sampai Thailand, sembilan jam. Sebelah tangan pegang handle (pemegang tangan motosikal), sebelah tangan pegang vape. Proohh, proohh… hisap vape tegar. Kalau kau kata kau kuat, tak sembanglah,” katanya.
Selepas menonton video motivasi oleh doktor di TikTok, Abang Rock berkata, dia cuba berhenti.
“Baru nak insaf hisap vape, nak tinggalkan vape, dah takut. Tapi dua hari, pom! sesak nafas, lemah jantung. Pergi hospital, kritikal,” katanya.
Beliau turut menyatakan dalam bilik wad yang sama, tiga lagi pesakit muda di bawah usia 30 tahun meninggal dunia, hanya dia yang masih bertahan.
“Pada orang muda, berhentilah hisap vape. Yang ada, masih ada peluang lagi. Berhenti. Budak muda jantung lemah, paru-paru rosak,” pesannya dalam keadaan terbatuk-batuk.
Video itu mencetuskan limpahan simpati, dengan ruangan komen dibanjiri pengguna media sosial yang menganggap mesej itu sebagai satu peringatan dan renungan penting.
@radzirockrider Membalas kepada @radzirockrider