Pertama dalam sejarah, pakar bedah berjaya lakukan pemindahan jantung babi ke manusia

Pertama dalam sejarah, pakar bedah berjaya lakukan pemindahan jantung babi ke manusia

 

Sekumpulan pakar bedah berjaya melakukan prosedur pemindahan organ atau transplan pertama jantung khinzir yang telah diubah genetik ke tubuh manusia kepada seorang lelaki berusia 57 tahun, lapor Mirror.

Pembedahan pertama dalam sejarah manusia yang boleh memberi harapan kepada masalah kekurangan pendermaan organ itu dilakukan selama sembilan jam di University of Maryland Medical Centre, pada Jumaat.

Dalam waktu tiga hari pertama selepas prosedur berkenaan, pesakit dilaporkan tidak menunjukkan sebarang tanda penolakan terhadap organ itu.

Bercakap tentang prosedur transplan tersebut, pengarah program pemindahan jantung di pusat perubatan itu yang juga terlibat dalam operasi pembedahan berkata, jantung itu menghasilkan denyutan nadi dan mewujudkan tekanan.

“Jantung itu berfungsi dan terlihat normal. Kami teruja, tapi kami juga tidak tahu bagaimana hari-hari kedepannya. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini,” kata beliau memetik laporan Mirror.

Disember lalu, pesakit bersetuju untuk menjadi yang pertama menjalani prosedur pembedahan itu dengan harapan dia bakal mendapat kehidupan ‘baharu’.

”Ini adalah satu keajaiban, Itu yang ayah saya mahu dan saya rasa dia dapat apa yang dia mahukan,” kata anak pesakit.

Difahamkan, jantung pesakit yang sebelumnya bermasalah telah digantikan dengan satu daripada gen khinzir berusia satu tahun yang telah melalui proses pengubahan genetik dan dibiakkan khas untuk prosedur ini.

Setakat ini, pesakit dilaporkan mampu bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan namun masih bergantung kepada mesin untuk membantu sebahagian kerja-kerja mengepam darah di dalam tubuhnya.

Namun begitu, alat berkenaan akan perlahan-lahan dilepaskan dari tubuh pesakit seperti saranan doktor.