“Dua wanita naik Perodua Bezza biru” – Mayat bayi ditemui terlangkup dalam lubang tandas stesen minyak

“Dua wanita naik Perodua Bezza biru” – Mayat bayi ditemui terlangkup dalam lubang tandas stesen minyak
Pelanggan sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, di sini semalam gempar apabila menemukan mayat bayi dalam tandas wanita.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi, bayi yang tidak dapat dikenal pasti jantina dan bangsa ditemui dalam lubang tandas.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata pihaknya menerima laporan jam 12 tengah hari.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Md Yusof berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua individu disyaki suspek kejadian itu.
“Terdapat pergerakan seorang wanita yang sedang hamil ditemani seorang lagi wanita masuk ke tandas.
“Kedua-duanya didapati menaiki Perodua Bezza berwarna biru manakala nombor pendaftarannya pula tidak jelas,” katanya.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu dan suspek utama kes tersebut.
Polis meminta kerjasama orang ramai yang ada maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452.