Pernah tular mahu ‘telanjangkan’ polis, wanita mengaku tak bersalah

Pernah tular mahu ‘telanjangkan’ polis, wanita mengaku tak bersalah

 

Seorang wanita yang pernah tular di media sosial selepas dirakam mengherdik polis di sekatan jalan raya (SJR), di sini, 1 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh, Nur Jawaheer Ismail, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang anggota polis, Maslin Samih dengan menyebut perkataan “nasib kau ni lelaki, kalau kau perempuan sudah lama aku kasi telanjang kau, aku rungkup kau”.

Mengikut kertas pertuduhan, kejadian dilaporkan berlaku pada 5.30 petang dalam sekatan jalan di Jalan Kepayan.

Nur Jawaheer didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Memetik laporan FMT, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, DK Afiqah Alya dan Adibah Saiful manakala tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.

Kejadian itu tular di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman warganet walaupun tidak diketahui punca sebenar insiden itu.

Nur Jawaheer kemudian ditahan polis pada 17 Jun lalu sebelum direman selama dua hari bagi membantu siasatan.