Pernah minta alamat konon nak ambil produk, Kak KM dedah perompak rupanya ‘follower’ sendiri

Pernah minta alamat konon nak ambil produk, Kak KM dedah perompak rupanya ‘follower’ sendiri

 

Setelah lebih 2 minggu siasatan dijalankan, akhirnya suspek utama yang terlibat dalam jenayah rompakan di rumah usahawan terkenal, Kak KM berjaya diberkas oleh pihak polis.

Selain wang tunai serta pelbagai barangan jenama mewah, peti besi yang mengandungi jongkong emas bernilai RM1 juta juga berhasil ditemui semula di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor.

Sewaktu mendapat makluman bahawa harta benda miliknya berjaya dikesan, Kak KM atau nama sebenarnya, Liana Rosli terus menitiskan air mata selain meluahkan rasa syukur.

Ketangkasan dan kecekapan pihak PDRM mengesan 4 suspek yang berkaitan juga turut dipuji oleh usahawan tersebut.

Dalam laporan sebelum ini, polis berkata kumpulan penjenayah itu memang menjadikan golongan pempengaruh media sosial dan ahli perniagaan sebagai target utama mereka.

Rupa-rupanya, perompak terbabit merupakan pengikut Kak KM sendiri.

Terdahulu, suspek pernah meminta alamat rumah Kak KM di Padang Balang, Sentul itu dengan alasan mahu mengambil produk.

Siapa menduga, rupanya ia merupakan langkah awal sebelum mereka merancang operasi pecah masuk ke kediaman milik Kak KM.

Apa yang berlaku juga menjadi satu peringatan besar dan pengajaran besar buat Kak KM agar tidak terlalu cepat mempercayai seseorang.

Tambahnya lagi yang sudah merasa tidak selamat tinggal di sana, dia bercadang untuk berpindah ke lokasi lain dan bakal memperketatkan aspek sekuriti di rumah baru kelak.