Permata warisan tinggalan sejarah, rasai pengalaman sebenar inap desa di Rumah Tiang 16 Lenggong Perak

Permata warisan tinggalan sejarah, rasai pengalaman sebenar inap desa di Rumah Tiang 16 Lenggong Perak

 

Sekali pandang rumah ini kelihatan seperti rumah kampung biasa yang lain. Namun rupanya rumah lama yang terletak di Perak ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

Rupanya terdapat 16 tiang untuk menyokong keseluruhan struktur dan seni bina tradisional Rumah Bumbung Panjang Perabung Lima berusia hampir setengah abad ini serba unik.

Teratak diberi nama Rumah Tiang 16 (RT16) terletak di Kampung Kubang Jambu Lenggong, Perak dibina pada 1974.

Simboliknya pembinaan RT16 turut menjadi platform mengetengahkan ‘permata warisan’ di Lenggong sebagai tarikan pelancongan.

Justeru, Heritage Stay by Rumah Tiang 16 – Inap Warisan oleh Rumah Tiang 16 (IWRT16) dilancarkan Ogos 2019 dan tersenarai dalam peta pelancongan di Lembah Lenggong.

Menurut Abdul Nasir Jalaludin yang mewarisi rumah tinggalan bapanya, Allahyarham Jalaludin Che’ Man, berkata matlamat itu sesuai dengan hasratnya untuk kembali ke kampung kelahirannya selepas beliau enam beradik berpindah ke Ipoh sejak 1981.

Namun, pada hujung 2017 beliau teruja kembali semula ke kampung halamannya dan menginap di rumah berkenaan.

Katanya, RT16 lokasi strategik dikelilingi beberapa destinasi pelancongan menarik seperti gua batu kapur, tasik, lata air terjun, kampung tradisional sarat dengan monumen bersejarah, makanan tradisional dan pelbagai lagi.

Tambahnya lagi, rumah ini mempunyai ruang anjung yang ditukar menjadi beranda. Dari pandangan sisi seperti rumah kutai, tetapi dibuat dua tingkat bagi menampung keluarga besar.

Lengkap ruang tamu atas dan bawah, dapur, makan, bilik solat, tiga bilik tidur, dua bilik air dan bilik bacaan, identiti RT16 lebih terserlah dengan koleksi perabot, dan perhiasan klasik dan retro begitu menggamit nostalgia.

Rumah ini juga diperbuat daripada kayu cengal mas, merbau dan kemuning kelihatan tersergam indah berciri penempatan tradisional.

Bahagian bawah rumah ini berdindingkan batu konkrit separuh berdindingkan kayu, manakala tingkat atas dibina dengan menggunakan kayu sepenuhnya serta diperkemaskan dengan ukiran.

Ternyata pengalaman menginap di sini akan dapat merasai suasana sebenar yang tenang dan permai. Malah turut dilengkapi balkoni dan pemandangan taman saujana mata memandang.

Justeru katanya, bagi mereka yang ingin menikmati pakej 3H2M boleh mendapatkan maklumat di www.rumahtiang16.com atau Facebook dan Instagram Rumah Tiang 16.