Perkataan ‘HELP’ selamatkan nyawa

Perkataan ‘HELP’ selamatkan nyawa

Seorang peluncur ombak berjaya diselamatkan selepas menulis perkataan ‘HELP’ di Pantai Karekare di New Zealand.

Lelaki terbabit pada mulanya meluncur ombak secara sendirian, tetapi papan luncurnya dihanyutkan ombak.

Dia kemudian dihanyutkan ombak sebelum parah akibat terkena batu di kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian terdampar di pantai sebelum terpaksa merangkak selama dua jam untuk ke tempat yang lebih selamat.

Portal The Sun melaporkan peluncur itu hilang arah selepas usahanya mencari jalan keluar dari kawasan berkenaan gagal.

Dia kemudian menulis di permukaan pasir pantai bagi mendapatkan bantuan.

Disebabkan tiada pilihan lain, dia kemudian menulis perkataan ‘HELP’ bagi menarik perhatian untuk bantuan lanjut.

Dia bernasib baik selepas mesej ditulisnya disedari dua wanita yang kebetulan sedang berjalan di denai tidak jauh dari kawasan pantai.

Wanita itu menghubungi kelab luncur tempatan sebelum dua anggota penyelamat tiba menaiki jet ski.

Selepas memberikan bantuan kecemasan, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. – HM