Periksa 120 kes rogol, hanya tiga dibicara di mahkamah

Periksa 120 kes rogol, hanya tiga dibicara di mahkamah

Pakar ginekologi Dr Pravin Peraba dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan hanya dalam tiga kes rogol, walaupun 120 mangsa dirujukkan kepadanya.

Beliau berkata, pakar di sektor awam dikehendaki merawat mangsa apabila mereka dibawa ke hospital selepas laporan polis dibuat.

“Dari segi prosedur, mereka akan ditemani oleh seorang pegawai wanita sebagai pengiring, atau ibu mereka, sekiranya mangsa di bawah umur,” katanya.

“Kemudian kami akan mengemukakan laporan kepada polis. Selepas itu, kami akan dipanggil untuk memberi keterangan sekiranya kes dibawa ke mahkamah.”

Katanya, beliau sangat jarang dipanggil untuk memberi keterangan kerana sebahagian besar mangsa menarik balik aduan mereka, biasanya kerana tekanan keluarga atau ketidaksediaan terdedah kepada stigma dan pemeriksaan dalam siasatan rogol.

Beliau berkata, selain itu sebilangan kes pula ditolak.

“Sebilangan tertuduh mengaku melakukan rogol dan dalam kes lain, polis dan timbalan pendakwa raya membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan kerana kekurangan bukti. Tetapi jumlahnya sangat kecil.”

Angka rasmi jumlah kes rogol setahun menurun sepanjang 10 tahun lepas, iaitu daripada 3,500 kes pada 2010 kepada kira-kira 1,700 pada 2019.

Pravin berkata, ia tidak semestinya bermakna jumlah kejadian rogol berkurang, sebaliknya ini kerana semakin kurang laporan dibuat.

Beliau berkata, ini adalah hasil sikap tidak ambil peduli dengan merujuk kepada kes seorang guru latihan jasmani yang berseloroh mengenai perbuatan rogol di dalam kelas yang tular di TikTok.

“Berhubung kes Ain (Husniza Saiful Nizam), sesetengah orang berkata ia hanya gurauan, tetapi apabila orang bergurau mengenai perkara seumpama ini, ia menjadi kebiasaan. Orang pun berfikir bahawa ia OK.

“Orang dewasa berumur 30 atau 40 mungkin faham. Tetapi bagi budak perempuan berumur 14 tahun? Sekiranya pada suatu hari dia dirogol atau dicabul, dia tidak akan tampil membuat aduan kerana ia merupakan sesuatu yang akan ditertawakan.

“Selain itu, anda juga mengajar budak lelaki bahawa merogol rakan sekelas itu OK.”

Pravin berkata, ibu bapa harus menanamkan sikap menghormati wanita dalam diri anak lelaki mereka sejak awal dan mengajar anak perempuan bahawa serangan seksual tidak harus diperkecilkan.

“Kita tidak boleh biasakan jenayah ini. Mungkin ada yang berkata kita lebih baik daripada India atau Pakistan, tetapi kita tidak mahu keadaan menjadi sangat buruk sebelum kita mengambil tindakan.”

Beliau berkata, perhatian serius yang diberikan kepada sikap ambil mudah terhadap perbuatan serangan seksual kini merupakan perkembangan yang memberangsangkan.

“Saya teruja menyaksikan ramai orang, baik lelaki atau wanita, yang menyokong Ain. Mungkin tidak 100% orang akan bersetuju, tetapi lebih ramai orang dilihat menyokong beliau.” – FMT