Perhilitan Perak berjaya tangkap ‘Yob Hijrah’

Perhilitan Perak berjaya tangkap ‘Yob Hijrah’

 

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah jantan seberat 1.5 tan di Kampung Air Jada di sini, Selasa lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah berusia antara 20 hingga 21 tahun itu ditangkap pada pukul 10 pagi selepas dijejaki dalam tempoh dua jam.

Katanya, tangkapan itu dijalankan selepas menerima aduan penduduk mengenai mamalia tersebut yang dikatakan merosakkan tanaman termasuk pokok buah-buahan.

“Gajah jantan dewasa yang dinamakan Yob Hijrah itu dikenal pasti daripada kumpulan gajah Papulut.

“Kumpulan ini ada empat ke lima ekor gajah namun hanya Yob Hijrah yang bergerak keluar daripada kumpulannya dan memasuki kawasan kampung,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi pemindahan gajah tersebut akan dilakukan esok pada pukul 9 pagi dengan menggunakan gajah denak iaitu Alam dan Abot.

Katanya, seramai 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan 10 kakitangan Perhilitan Perak akan terlibat dalam operasi tersebut.

Alam dan Abot yang didatangkan daripada Kuala Gandah akan memujuk Yob Hijrah untuk dihantar ke Hutan Simpan Royal Belum,” katanya.

Sumber: Utusan