Perbicaraan kes rasuah bekas pegawai SUK Perak ditangguh ke 9 Februari
Perbicaraan kes rasuah membabitkan seorang bekas penjawat awam yang berdepan enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM257,600 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin ditangguh ke 9 Februari depan.
Hakim S Indra Nehru membuat penangguhan itu selepas tertuduh, Herman Ibrahim, 46, yang diwakili peguam Khairil Azwar Khalil memohon untuk mengemukakan Akuan Rundingan mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam prosiding pada Isnin, Khairil Azwar memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi prosedur berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh berkenaan sebagai sebutan semula kes.
Pada 17 Julai lalu, Herman yang merupakan bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menerima suapan berjumlah RM149,600.
Pada 13 Ogos lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di tempat dan waktu berbeza ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018. – SH