Perarakan pengebumian, polis panggil tujuh individu

Perarakan pengebumian, polis panggil tujuh individu

 

Polis sudah memanggil tujuh individu untuk dirakam percakapan berhubung perarakan pengebumian yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk menggunakan helikopter di Little India, Ipoh baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tujuh terbabit terdiri daripada pengurus mayat, waris, juruterbang, pengurus syarikat acara, pemilik helikopter dan wakil daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pemilik kuda.

Katanya, selepas siasatan kes selesai pihaknya akan merujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Polis juga sudah mengenal pasti jenis kesalahan yang dilakukan ketika perarakan terbabit tetapi bergantung kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

“Perarakan terbabit tidak dimaklumkan kepada mana-mana pihak termasuk pihak polis,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Perlantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS ) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2021 di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Cancelor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman dan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Pada majlis berkenaan seramai 65 penuntut UPSI menerima Sijil Perlantikan Pegawai SUKSIS.

Menurut Mior Faridalathrash, hasil siasatan awal juga mendapati keluarga terbabit tidak ada perancangan untuk mengadakan perarakan ke tanah perkuburan.

“Di samping itu, hasil siasatan juga mendapati juruterbang dapat kebenaran untuk terbang rendah di dalam perarakan terbabit,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan perarakan pengebumian yang menggunakan helikopter dalam keadaan berlegar (hover) rendah di Little India, disahkan melanggar SOP PPN.

Selain pelanggaran SOP PPN, siasatan turut meliputi sama ada khidmat helikopter terbang rendah yang dikatakan mengiringi perarakan itu mendapat kebenaran CAAM atau sebaliknya.