Perak terima sumbangan RM631,550 dari YPM, bantu lebih 3,000 pelajar

Perak terima sumbangan RM631,550 dari YPM, bantu lebih 3,000 pelajar

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukkan RM631,550 kepada lebih 3,000 pelajar menengah dan rendah di negeri Perak.

YPM dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak RM288,000 telah diberikan kepada Jabatan Pendidikan negeri itu bagi menjayakan program ‘Back to School’ yang dianjurkan YPM kepada pelajar B40 di 24 Parlimen.

Menurut kenyataan itu, RM139,850 pula diberikan kepada Pejabat Daerah Kuala Kangsar bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pendidikan YPM di situ.

“Program Back To School YPM merupakan program bantuan persekolahan yang dilaksanakan menjelang sesi persekolahan melibatkan pemberian bantuan keperluan persekolahan kepada pelajar-pelajar miskin atau kategori B40 seluruh negara bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa pelajar.

“Pelaksanaan program ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar di seluruh negara.

“Melalui kerjasama ini PPD melalui sekolah mengenal pasti pelajar dalam kategori kurang berkemampuan atau B40, manakala YPM menyediakan peruntukan untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Selain itu, Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) di antara YPM yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Amran Mohd Ariffin bersama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusuf telah diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.

Hadir sama, Naib Canselor USAS, Tan Sri Profesor Dr Nordin Kardi, Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Pengurus Besar Wilayah Maybank Negeri Perak, Datin Munirah Che Rose. – SH