Perak kenal pasti lokasi baru Lapangan Terbang Antarabangsa di Bota

Perak kenal pasti lokasi baru Lapangan Terbang Antarabangsa di Bota

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar dicadangkan dibina di tapak baharu seluas kira-kira 1,618.7 hektar berdekatan Felcra Nasaruddin, Bota.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, status projek itu kini sudah memasuki kajian lapangan yang dikendalikan syarikat kejuruteraan infrastruktur mega, Colebrand International Limited yang berpangkalan di United Kingdom.

Menurutnya, tapak asal projek mega itu yang terletak 40 kilometer (km) dari lokasi baru, membabitkan banyak kampung dan tanah perkuburan yang boleh mencetuskan masalah bagi orang kampung.

“Tanah baharu yang dicadang ini tidak membabitkan masalah-masalah yang menghantui kerajaan negeri kerana sekiranya ia (pembinaan di tapak asal diteruskan), akan memakan masa yang terlalu lama untuk perpindahan, pampasan dan sebagainya.

“Tapak baharu ini sebahagiannya milik Felcra, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan sebahagiannya milik kerajaan negeri.

“Jadi tanah kita cadang ini, tanah yang seminimum masalah supaya mereka (Colebrand) boleh terus membuat kajian lapangan dan meneruskan cadangan pembinaan mereka,” katanya pada sidang media di Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah di sini, hari ini.

Beliau berkata, lawatan ke lokasi tapak cadangan berkenaan akan diadakan bersama syarikat itu hari ini.

“Selepas ini, mereka akan beri maklum balas kepada kerajaan negeri mengenai tempoh yang diperlukan dan apakah kemudahan yang supaya mereka dapat teruskan kerja-kerja pembinaan.

“Kajian lapangan itu akan diketuai Pengarah Colebrand International Limited Jim Scott,” katanya.

Mohammad Nizar berkata, kos bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu dibiayai inisiatif pembiayaan swasta (PFI), namun jumlah keseluruhan kos masih diperingkat awal untuk dimuktamadkan kerana ia kini baru berada di fasa kajian lapangan.

Menurutnya, lapangan terbang itu secara prinsipnya juga sudah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan.

“Syarikat ini sudah berjumpa pihak Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan dan Menteri Besar Perak bagi memberi penerangan serta gambaran berkaitan pembinaan lapangan terbang itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Besar Colebrand International Limited Dr Farid Idrus berkata, berdasarkan pengalaman mereka, syarikat itu menjangkakan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar membabitkan dua fasa yang memakan masa lebih lima tahun untuk siap sepenuhnya.

“Fasa pertama iaitu kajian lapangan oleh Jim Scott, ia membabitkan topografi, geografi, hidrologi dan ekonomi di kawasan berkenaan, mungkin memakan masa enam bulan. Selepas itu, kita bentang hasil kajian berkenaan kepada semua pemegang taruh.

“Fasa kedua pula adalah pembangunan lapangan terbang itu sendiri, berdasarkan jangkaan masa dan pengalaman kita selama ini, ia memakan masa dalam 60 bulan atau lima tahun, itu yang secara purata yang berlaku. Jadi, mungkin lima tahun akan datang, Perak akan mempunyai lapangan terbang baharu,” katanya.

**Gambar AI perkongsian Suara Kini**