Perak kekal SOP ketat di zon hijau

Perak kekal SOP ketat di zon hijau

Kerajaan Perak tidak berhasrat untuk melonggarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan mukim dan daerah yang berstatus hijau di negeri ini.

Langkah itu dilihat tidak wajar kerana dibimbangi menyumbang kepada penularan kes jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini memandangkan masih terdapat beberapa kawasan di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Perlu diingat kemungkinan orang yang berada di zon merah bila dengar nak buat PKPD mereka akan lari bawa tikar bantal ke kawasan hijau dan membawa bersama pula Covid-19.

“Sebab itu saya tidak ada hasrat untuk memberi kebebasan pasa satu-satu mukim atau daerah sedangkan pada waktu sama ada kawasan lain yang dikenakan PKPD,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) PKPD di Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Lubuk Binjai di sini hari ini.

Sehingga kini Perak tidak mengenakan sebarang sekatan termasuk yang datang dari negeri luar dengan syarat mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Kata Saarani, kebenaran untuk keluar masuk misalnya diberi di kawasan pengeluaran durian seperti di Batu Kurau apabila peraih luar masih dibenarkan datang.

Sumber: Kosmo