Perak guna konsep gelembung pada sidang DUN bermula 25 Ogos, kata speaker
Perak akan mengguna pakai konsep gelembung dalam mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 25 Ogos ini.
Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pelaksanaan konsep itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri tersebut serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Beliau berkata, konsep gelembung merangkumi empat elemen utama, iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.
“Konsep gelembung persidangan Dewan Negeri ini telah diperjelaskan kepada semua Ahli Dewan Negeri agar persediaan yang sewajarnya dapat dilakukan dengan segera.
“Sesi libat urus bersama Ketua Pembangkang DUN Perak dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan telah diadakan dan mendapat reaksi positif daripada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Zahir berkata, pelaksanaan kaedah itu akan menjadikan Perak sebagai negeri pertama memperkenalkan konsep gelembung persidangan Dewan Negeri yang akan melibatkan Yang Dipertua Dewan Negeri, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas.
Katanya, bagi meminimumkan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan itu akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-panggilan adalah dilarang.
“Fasiliti saringan secara harian disediakan dan semua diwajibkan menjalani saringan menggunakan Salixium Covid-19 Rapid Antigen Test Kit pada setiap pagi hari persidangan.
“Hanya hasil saringan dengan keputusan negatif dan selesai dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera akan dibenarkan menaiki kenderaan yang disediakan untuk ke tempat persidangan,” katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan pengawalan gelembung, bilik perbincangan dan kemudahan mesyuarat dalam talian akan turut disediakan di hotel bagi membolehkan ADUN menggunakannya sekiranya diperlukan.
Katanya, selain ruang utama di Dewan Negeri, empat ruang tambahan di aras yang sama akan digunakan sebagai tempat persidangan.
Menurutnya, cadangan penambahan ruang adalah bagi meminimumkan risiko penularan wabak serta sebagai langkah mitigasi bagi membolehkan tindakan kuarantin secara bersasar dilaksanakan sekiranya berlaku jangkitan tanpa mengganggu kelancaran perjalanan sidang Dewan Negeri.
“Yang Dipertua Dewan Negeri akan mempengerusikan persidangan di ruang utama Dewan Negeri dan ruangan ini akan menempatkan 39 ADUN.
“Baki 20 ADUN akan ditempatkan di empat ruang tambahan dengan komposisi pecahan mengikut keluasan setiap ruangan tersebut,” katanya.
Selain itu katanya, kedudukan semua ADUN akan dikekalkan mengikut pecahan ditetapkan sepanjang tempoh persidangan bagi memudahkan langkah mitigasi diambil sekiranya salah satu ruangan tersebut dikesan terdedah kepada penularan wabak Covid-19.
Katanya, melalui pecahan kedudukan ADUN tersebut, persidangan juga masih boleh diteruskan dengan mematuhi Perintah Tetap 12 (2) yang menetapkan korum sebanyak satu perempat ahli (minimum 15 orang ADUN) bagi membolehkan usul untuk menangguhkan persidangan dapat dicadangkan dan disokong secara sempurna mengikut peraturan.
“Semua ADUN dan petugas diharap dapat memberikan komitmen untuk sama-sama menjayakan konsep gelembung persidangan yang julung-julung kali diperkenalkan ini,” katanya.
Media pada 30 Jun lalu melaporkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan supaya DUN Perak bersidang pada 25 Ogos depan selama empat hari.
Sultan Nazrin juga berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan itu nanti.
Sumber: FMT