Perak FC: Penamatan kontrak atas permintaan Mehmet

Perak FC: Penamatan kontrak atas permintaan Mehmet

Perak FC menamatkan kontrak Mehmet Durakovic sebagai ketua jurulatih dan akan digantikan dengan Pengarah Teknikal KLFC, Chong Yee Fatt.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC,  Khairul Shahril Mohamed berkata, penamatan kontrak itu adalah atas permintaan Mehmet sendiri dengan alasan mahu pulang ke Australia untuk menyelesaikan urusan keluarga dan telah persetujuan itu telah ditandatangani pada 19 Februari lalu.

“Rundingan telah dijalankan selama lebih satu minggu dan pengurusan menghormati pendirian Mehmet yang memilih untuk kembali ke Australia. Ia merupakan satu keputusan yang sukar dan berat untuk kami putuskan.

“Kami mengucapkan selamat berjaya kepada beliau kerana mahu bersama keluarganya di Australia adalah keutamaan beliau,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Mehmet berkata, sukar untuknya membuat keputusan itu namun setelah mengadakan perbincangan dengan keluarganya, beliau membuat keputusan pulang ke negaranya.

“Saya sedih dengan keputusan ini. Sejujurnya tahun lalu ketika Covid-19, bukan saat yang mudah buat saya. Saya bersendirian dan sekali lagi tahun ini.

“Saya berbincang dengan keluarga dan sudah sampai masa saya balik ke Australia untuk bersama keluarga,” katanya. – UO