Perak FC jamin bayar gaji selewat-lewatnya 7 Mac

Perak FC jamin bayar gaji selewat-lewatnya 7 Mac

 

Perak FC memberi jaminan akan menyelesaikan isu tunggakan gaji dua bulan yang membelenggu pemain skuad itu selewat-lewatnya pada Isnin depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah, berkata pihaknya justeru meminta pemain skuad The Bos Gaurus (TBG) yang ketika ini dibelenggu isu tunggakan gaji dua bulan untuk menunggu sehingga 7 Mac ini.

“Pengurusan Perak FC akan membuat pembayaran itu selewat-lewatnya pada 7 Mac ini seperti yang dinyatakan dalam kontrak masing-masing.

“Walaupun kelab pernah menjamin pembayaran gaji kepada bekas pemain import sebelum akhir bulan April iaitu sebulan sebelum jendela perpindahan kedua, namun jaminan sedemikian tidak diberikan kepada pemain tempatan sedia ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, penyelesaian yang dijanjikan meliputi dua bentuk iaitu sama ada cadangan kelab untuk menyelesaikan semua tunggakan sekali gus kepada pemain sedia ada, atau sekurang-kurangnya bayaran bulan pertama iaitu bulan Januari terlebih dahulu.

Terdahulu, isu tunggakan gaji dua bulan kembali membelenggu Perak FC apabila wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melalui ciapan di laman Twitter mendedahkan hal itu.

Menurut ciapan terbabit, selain hampir dua bulan pemain Perak FC tidak bergaji, 20 pemain skuad yang dikatakan bakal mengharungi Liga Perdana musim ini terdiri daripada 17 pemain tidak termasuk tiga penjaga gol selain empat pemain dikatakan mengalami cedera ACL (anterior cruciate ligaments).

Sebelum ini, dilaporkan sekatan dikenakan kepada Perak FC oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) daripada mendaftar pemain baharu berikutan isu tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta, namun ia tidak menghalang kelab berkenaan daripada mengekalkan lesen menyertai Liga Malaysia (Liga M).

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Yunus berkata, biarpun Perak FC kini terpalit pelbagai spekulasi di media sosial, pihaknya mengesahkan jenama sukan dari Itali iaitu Lotto kekal menjadi penaja jersi rasmi skuad TBG bagi liga musim ini.

Menurutnya, jersi rasmi pasukan Perak untuk musim 2022 yang akan dijual kepada peminat akan diperkenalkan dalam bulan April atau Mei.

“Seperti yang diumumkan di forum peminat pada 5 Januari lalu, jersi pasukan untuk beberapa perlawanan yang pertama adalah menyamai jersi yang dipakai semasa perlawanan pramusim,” katanya.