Perak FC catat kemenangan pertama, tambah derita Sri Pahang FC

Perak FC catat kemenangan pertama, tambah derita Sri Pahang FC

Juara Piala Malaysia 2018 Perak FC melakar kemenangan sulung Liga Super musim ini, selepas menundukkan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan skuad The Bos Gaurus memanjat ke kedudukan ketiga liga dengan mengutip empat mata, sementara skuad Tok Gajah yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut terus bergelut di bawah carta liga.

Pemain tengah J. Partiban memastikan Perak FC berada di hadapan sebelum waktu rehat, selepas rembatan kaki kanannya pada minit ke-43 menewaskan penjaga gol Mohamad Helmi Eliza Elias, yang gagal membaca pergerakan bola dengan baik.

Kesilapan Mohamad Helmi pada babak kedua yang meluru keluar dari kawasan kotak penalti, turut mengundang padah apabila beliau gagal mengeluarkan bola sekali gus disambar Muhammad Farhan Roslan, yang memiliki ruang secukupnya untuk meledak gol kedua Perak FC.

Sementara itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, gol tunggal Dominique Da Sylva pada babak pertama perlawanan, memastikan Kuala Lumpur City FC merakam kemenangan pertama mereka musim ini selepas mengatasi UiTM FC 1-0.

Sementara itu, aksi Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dan Melaka United FC yang berlangsung sengit di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Melaka United FC mendahului perlawanan pada minit ke-55 hasil tandukan S.Kumaahran, namun pasukan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan hasil rembatan deras Darren Lok pada minit ke-70, sebelum beliau menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Seakan kemenangan berpihak kepada PJ City FC, pemain gantian Mohamad Faris Shah Mohd Rosli menyelamatkan maruah Melaka United FC dengan gol penyamaan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Dalam pada itu, percaturan Ketua Jurulatih Sarawak United FC E.Elavarasan terus membuahkan hasil, apabila pasukan bimbingannya merampas takhta pendahulu Liga Premier, selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Perak FC II di Stadium Perak, Ipoh.

Kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah yang dilihat gugup dan sering melakukan kesilapan mudah membawa padah, apabila ia dimanfaatkan sebaiknya penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha untuk menyumbat gol pembukaan Sarawak United FC pada minit ke-35.

Penyerang Uche Agba memadam segala api kemaraan pasukan tuan rumah dalam tempoh 10 minit, selepas menggandakan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 dan rembatan padu menerjah bucu kiri gol sembilan minit kemudian, bagi memastikan pasukan pelawat itu memungut tiga mata penuh.

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, dua gol masing-masing dijaringkan Amirul Shafik Che Soh seawal minit ketiga dan Shuhei Fukai pada minit ke-70, memastikan Kelantan United FC meraih kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan PDRM FC 2-0.

Pada masa sama, Terengganu FC II dan Kuching City FC terikat 1-1, pada aksi berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. – AA