Perak FC bayar tunggakan gaji hari ini

Perak FC bayar tunggakan gaji hari ini

Perak FC akan membayar tunggakan gaji pemain kelab itu hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, tunggakan gaji pemain tidak melebihi tiga bulan dan ia hanya membabitkan pemain Perak FC sahaja.

“Untuk Perak II FC kita memang tiada tunggakan (tetapi) untuk Perak FC kita ada tunggakan sikit tetapi tidaklah sampai tiga bulan.

“Esok (hari ini) kita akan selesaikan gaji yang tertunggak itu bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan selesa.

“Saya tidak pasti (jika tunggakan diselesaikan sepenuhnya) tetapi banyak yang selesai kalau ada tunggakan pun seorang dua yang mungkin tertunggak sebulan. Saya akan cuba pastikan tunggakan tidak melebihi dua bulan,” katanya ringkas ketika ditemui, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak terus optimis Perak FC akan bangkit selepas tempoh rehat selama dua bulan hingga Julai depan.

Menurutnya, tempoh itu akan dimanfaatkan untuk memperbaiki pelbagai aspek dalam pasukan bagi memastikan skuad The Bos Gaurus kendalian Chong Yee Fatt menampilkan aksi terbaik dalam liga selepas ini.

“Masalah kita masih lagi berkaitan kewangan dan kita juga sedang berusaha untuk mencari formula terbaik untuk masalah itu. Perak FC tidak duduk saja tetapi kita ada perancangan, cuma tidak boleh dimaklumkan kepada umum.

“Kita faham perasaan peminat yang sayangkan pasukan bola sepak Perak dan risaukan keadaan ketika ini, saya tidak salahkan mereka kerana keadaan kita memang agak kurang baik kali ini.

“Tetapi kita sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan dalam tempoh dua bulan ini kita akan cari formula yang terbaik,” katanya.

Khairul Shahril berkata, dia mempunyai keyakinan dengan barisan pemain sedia ada biarpun tanpa tonggak pasukan untuk terus mengharungi baki perlawanan liga.

“Saya juga berasa agak ralat kerana kehilangan beberapa tonggak tetapi apa pilihan kita ada.

“Sebenarnya Perak ini kelebihan kita mempunyai ‘ubi muda’ (pemain muda) yang hebat kalau lihat perlawanan lalu. Saya yakin boleh mengharungi baki liga dengan pemain sedia ada,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sedang melihat pro dan kontra berhubung peletakan jawatan Rizal Ali Naizali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Isnin lalu.

“Saya lihat ada pro dan kontra apabila sebelum ini dia (Rizal) didesak seolah-olah untuk meletak jawatan tetapi apabila mengumumkan peletakan jawatan itu ada pula komen menyatakan beliau mahu lari daripada tanggungjawab dan banyak perkara belum selesai, jadi kita sedang melihat perkara ini,” katanya. – HM