Perak buka dua PPV vaksinasi ‘walk-in’

Perak buka dua PPV vaksinasi ‘walk-in’

 

Penduduk tidak perlu lagi berteka-teki untuk mendapatkan tarikh janji temu vaksin di aplikasi MySejahtera selepas beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini mula dibuka untuk vaksinasi walk-in atau jumpa terus tanpa janji temu.

Dua PPV di daerah Kinta iaitu di Stadium Indera Mulia dan Dewan Bandaran Kinta di Batu Gajah mula dibuka untuk vaksinasi jumpa terus hari ini bermula pada 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Bagaimanapun, setakat ini keutamaan diberikan kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas, berpenyakit kronik, ibu mengandung yang mempunyai janji temu buku pink (kandungan berusia 12 minggu ke atas serta bukan kontak rapat positif Covid-19, bukan dalam tempoh kuarantin dan tidak bergejala.

Penjaja kecil dari Bandar Seri Botani, Laili Mohd Yaakob, 43, berkata, dia lega sudah menerima suntikan selepas sekian lama menunggu tarikh janji temu.

“Sudah lama saya tertunggu-tunggu tarikh, selepas mengetahui sahaja ada peluang untuk walk-in vaksinasi saya terus mahu mengetahui lebih lanjut dan datang ke PPV hari ini.

“Saya rasa lega, tambah-tambah lagi saya berniaga nasi lemak dan memang rasa takut apabila kena berjumpa dengan ramai orang setiap hari,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin pada hari pertama pembukaan vaksinasi jumap terus di PPV Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Pemandu lori dari Tanjung Rambutan, R Mahendran, 48, pula berkata, selain tidak perlu menunggu tarikh janji temu MySejahtera segala proses menerima suntikan lebih mudah.

“Sudah beberapa bulan menunggu tarikh janji temu, keluarga yang memberitahu untuk terus datang ke sini untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Hari ini saya datang ke PPV dan selepas dua jam semuanya sudah selesai dengan dan saya berasa senang hati akhirnya sudah dicucuk,” katanya.

Liew Hoi Yin, 47, dari Bercham pula berkata, dia yang sudah tiba di PPV sejak 10 pagi untuk divaksin sangat lega selepas proses suntikan selesai.

“Saya mendapat tahu daripada kawan berkenaan suntikan vaksin secara walk-in, kalau nak diikutkan memang rasa sangat takut nak kena cucuk, tetapi demi keselamatan semua saya lawan perasaan itu dan datang sendiri ke PPV hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming mengesahkan berkenaan pembukaan vaksin secara jumpa terus di PPV Stadium Indera Mulia bermula hari ini.

“Ya, kami membuat keputusan cepat berdasarkan ketersediaan vaksin dan kapasiti di PPV Stadium Indera Mulia pada masa ini, kita akan sentiasa mengkaji dari semasa ke semasa untuk memastikan tidak berlaku kesesakan,” katanya.

Sumber: Harian Metro