Perak belum terima baki dos vaksin

Perak belum terima baki dos vaksin

Kerajaan negeri masih belum memperolehi baki dos vaksin Covid-19 sebanyak 250,569 yang sepatutnya diterima pada hujung bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kekurangan bekalan vaksin itu menyebabkan terdapat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpaksa memperlahankan operasi.

“Sepatutnya dapat pada hujung bulan ini, maknanya minggu ini, tapi saya fikir tidak sepenuhnya (kuota dos vaksin) kita akan dapat.

“Jika terima sepenuhnya, maka semua PPV di seluruh negeri akan berfungsi tetapi sekarang ada PPV yang memperlahankan tugas ekoran kekurangan bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Penyerahan Bantuan Makanan Nelayan Darat Daerah Lenggong anjuran Jabatan Perikanan Perak di Pusat Pekasam Negara di sini hari ini.

Saarani sebelum ini memberitahu, Perak bakal menerima bekalan vaksin yang dijadualkan pada Julai adalah sebanyak 688,760 dos

Sehingga Isnin lepas, sebanyak 438,191 dos baharu diterima manakala baki 250,569 lagi dijangka diterima pada akhir minggu ini.

Sumber: Kosmo