Perak bakal ada balai cerap termoden Nusantara

Perak bakal ada balai cerap termoden Nusantara

 

Setelah hampir 40 tahun, Perak dijangka memiliki sebuah balai cerap sains angkasa yang pertama di negeri tersebut setanding dengan fasiliti di negeri-negeri jirannya.

Ia susulan projek pembinaan balai berkenaan oleh Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) di kawasan ibu pejabatnya di Behrang, Daerah Muallim yang dijangka siap pada 2023 kelak.

Menurut hantaran menerusi laman sesawang rasmi Bahagian Ukur dan Pemetaan Instun, mesyuarat mengenai cadangan projek itu telah pun diadakan akhir bulan lalu secara hibrid.

“Ia melibatkan Instun sebagai pelanggan dengan agensi pelaksana projek iaitu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dari Ipoh dan JKR Daerah Muallim dari Tanjung Malim,” katanya, memetik Utusan.

Mesyuarat yang berlangsung itu bukan sahaja membincangkan fizikal premis balai cerap, malahan meliputi aspek spesifikasi teknikal berkaitan ciri teleskop, kubah dan jam matahari.

Sesi berkenaan dipengerusikan sendiri oleh Ketua Bahagian tersebut, Ahmad Azmi Hashim dan turut dihadiri Jurutera Daerah Muallim, Saleh Shaudi bersama-sama staf pasukan JKR.

Uniknya, balai paling moden di rantau Asia Tenggara itu turut dilengkapi dengan model jam matahari iaitu pertama seumpamanya dibina dalam kompleks pusat cerapan di negara ini.

Projek berkenaan apabila siap kelak dalam masa kurang dua tahun lagi, dijangka menjadi tumpuan para pengamal ilmu falak Islam dan sains astronomi dari seluruh alam Nusantara.

“Justeru, mesyuarat itu telah memutuskan untuk melakukan lawatan tapak ke beberapa balai cerap di Malaysia bagi mendapatkan input gambaran pembinaan premis ini,” tambahnya.

Ketika ini, urusan pencerapan anak bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah bagi Perak hanya dilakukan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Batu, Daerah Manjung sejak 1988 lagi.

Sebelum itu, proses tersebut dilaksanakan di Tanjung Kepah, Lumut dalam daerah yang sama bermula 1982, namun kemudian berpindah ke Teluk Belanga, Pulau Pangkor pada 1985.

Lokasi tunggal berkenaan dipilih kerana dianggap strategik apabila menghadap Selat Melaka terus ke arah matahari terbenam di ufuk barat kecuali ada gangguan cuaca hujan atau kabus.

Justeru, tapak balai cerap baharu di Instun disifatkan amat bersesuaian kerana kawasannya masih lagi dikelilingi hutan dan kurang pencemaran cahaya lampu akibat kegiatan manusia.

Pada masa ini terdapat enam balai cerap khusus untuk rukyah atau lihat anak bulan dengan Kompleks Baitul Hilal di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dirujuk sebagai contoh yang terbaik.

Kedudukannya di hujung tanjung berdekatan pantai peranginan Daerah Port Dickson sering jadi tumpuan kerana merekodkan jumlah penampakan anak bulang paling kerap di Malaysia.

Sejarah balai cerap di negara ini bermula dengan pembinaan Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Acheh, Pulau Pinang pada 1988 lalu yang dinamakan sempena ulama terkenal berkenaan.

Selain itu, Malaysia kemudian turut memiliki balai cerap khas yang tersendiri di Selangor, Melaka, Terengganu dan Sabah, manakala Johor dan Sarawak masih lagi dalam kerja pembinaan.

Tidak ketinggalan Planetarium Negara di Kuala Lumpur dan Observatori Negara Langkawi di Kedah diuruskan Agensi Angkasa Malaysia tetapi tidak sesuai untuk pencerapan anak bulan.

Lokasi bagi tujuan ini ditentukan oleh Pejabat Mufti dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta Persatuan Falak Syar’i Malaysia.