Peraih durian didakwa curi cip kasino Genting Highlands bernilai RM4.6 juta

Peraih durian didakwa curi cip kasino Genting Highlands bernilai RM4.6 juta

 

Seorang peraih durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub pada Rabu atas pertuduhan memecah masuk sebuah bilik kasino di Genting Highlands dan mencuri 1,160 cip bernilai RM4.6 juta milik Genting Highlands Berhad pada Oktober tahun lepas.

Tertuduh, Lee Kian Keong, 45 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama tiga lagi yang telah dituduh melakukan pecah rumah ke atas bangunan yang digunakan sebagai tempat untuk simpanan harta benda dengan mencuri 1,160 cip bernilai RM4,607,800 milik Genting Highlands Berhad di dalam bilik Twlight 3, Sky Kasino Genting Highlands, pada 7.12 pagi, 28 Oktober lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Zamharir Muhammad Zuhid memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Dinesh Muthal memohon agar Kian Keong yang masih bujang dikenakan ikat jamin minimum atas alasan memiliki pendapatan tidak tetap selain perlu menanggung ibunya yang uzur berusia 70 tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 Julai depan.