Penuntut universiti didakwa simbah bekas rakan sebilik guna asid sulfurik

Penuntut universiti didakwa simbah bekas rakan sebilik guna asid sulfurik

 

Penuntut universiti didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyimbah asid kepada rakan hingga menyebabkan kecederaan dan memiliki asid, 3 Mei lalu.

Tertuduh, R Keertana Naidu, 22, mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa, 22, dengan menggunakan benda melecur iaitu asid sulfurik.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan kakisan iaitu asid sulfurik.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 yang boleh dihukum mengikut akta yang sama.

Kedua-dua kejadian itu didakwa dilakukan di Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini, 4.23 petang, 3 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azeezi Nordin.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana ia satu kesalahan serius dan tertuduh dengan mangsa saling mengenali.

“Terdapat pertikaian masalah yang timbul antara mereka dan tertuduh sanggup datang dari Johor dengan membawa satu botol asid. Ia satu risiko yang tinggi jika tertuduh dijamin,” katanya.

Sementara itu, Azeezi mohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin memandangkan tertuduh adalah pelajar universiti di Pagoh, Johor.

“Mereka (tertuduh dan mangsa) berkawan dan pernah tinggal sebilik ketika belajar di Kolej Matrikulasi. Keluarga kedua-dua juga saling mengenali.

“Saya mohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia perlu kembali ke universiti untuk sambung belajar,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa selain tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.

Mahkamah turut menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.