Penunggang motosikal maut langgar lori muatan tembikai

Penunggang motosikal maut langgar lori muatan tembikai

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas melanggar sebuah lori dengan muatan tembikai.

Kemalangan berlaku di Kilometer 157 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, di sini, kira-kira jam 7.20 malam pada Sabtu.

Mohamad Heri Hero Mazari Roslan, 33, disahkan meningal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Perasing selepas mengambil motosikal berkuasa tinggi jenis

Kawasaki Ninja milik bapanya, di Bandar Cheneh Baru, Kemaman.

Manakala lori terbabit yang dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu itu, dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Mangsa gagal mengelak lalu melanggar bahagian kiri tempat duduk penumpang lori sebelum terhumban ke jalan raya.

10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru berjaya mengeluarkan motosikal mangsa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat. – AA