Penunggang motosikal maut langgar belakang lori

Penunggang motosikal maut langgar belakang lori

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 81, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Taman Bakti dekat Sungkai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, M. Satthiyah, 20, yang menunggang motosikal seorang diri parah di kepala dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sungkai menuju ke tempat kerjanya di sebuah kilang kicap di Bidor.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah melanggar bahagian belakang lori muatan barang plastik yang juga dalam perjalanan menuju arah sama.

“Mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Kenderaan terlibat ditahan bagi tujuan pemeriksaan Puspakom dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan