Penunggang motosikal maut bertembung kereta
Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kereta semasa membelok untuk masuk ke sebuah kilang di Kilometer 84.3 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata, kejadian pada jam 5.35 petang itu melibatkan motosikal dipandu mangsa, Mohd Ridzuan Abdullah, 43, dengan sebuah kereta.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dipandu Tan Hung Yee, 30, bersama-sama penumpang, Chai Chun Mun, 26, yang datang dari arah Machap menghala ke Simpang Renggam manakala motosikal mangsa dari arah bertentangan.
“Sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa membelok ke kanan untuk masuk ke Kilang Monier Malaysia Sdn Bhd sebelum bertembung dengan kereta dipandu Hung Yee. Kereta itu kemudian melanggar pula sebuah kereta lain dipandu Noridah Sukaimi, 35, yang berada di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang masih bujang dan tinggal di Taman UPC, Ayer Hitam, Batu Pahat meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Katanya, mangsa lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SH