Penternak minta kerajaan tak tetap harga selepas subsidi ayam dihentikan

Penternak minta kerajaan tak tetap harga selepas subsidi ayam dihentikan

 

Persatuan Penternak Manjung meminta kerajaan tidak menetapkan harga maksimum ayam selepas tiada lagi subsidi bermula 1 Julai depan.

Pengerusinya, Tan Wooi Perng berkata, penetapan harga siling ayam di pasaran akan merugikan penternak yang terpaksa berdepan dengan kenaikan kos makanan ternakan itu.

Jelas beliau, sebaliknya harga ayam perlu ditentukan sendiri oleh pasaran berdasarkan permintaan dan penawaran sedia ada.

“Jika tiada subsidi ayam, memang kita akan susah dan terpaksa tanggung rugi bagi memastikan harga kekal seperti sedia ada. Jadi kita masih berharap kerajaan tidak tetapkan harga maksimum ayam selepas 1 Julai nanti.

“Biarkan pasaran tentukan harga ayam sama ada murah atau mahal supaya penternak dan peniaga tidak terbeban. Harga dedak ayam untuk bulan ini pun naik lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Wooi Perng turut meminta kerajaan mempermudahkan urusan tuntutan bayaran subsidi yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, hanya lebih 10 peratus ahli persatuan menerima bayaran subsidi ayam berkenaan dan beliau berharap dapat dipercepatkan proses tersebut selepas semua dokumen yang diperlukan diserahkan bagi tujuan itu.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak bermula 1 Julai ini disebabkan ramai penternak tidak menuntut bayaran berkenaan dan pelbagai isu dibangkitkan.

Susulan itu, kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada rakyat terutama golongan B40.

Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) akan mengumumkan mekanismenya nanti.