“Detik hitam sepanjang 16 tahun..” – Pensyarah kecewa pelajar masih boleh gelak dengan markah kosong
Seorang pensyarah kesat air mata lihat markah 0/100 yang diperoleh anak didiknya lebih-lebih lagi apabila mereka masih boleh tergelak sewaktu dinasihati.
Menerusi video yang dimuat naik pensyarah dikenali sebagai sirladang, dia telah berkongsi momen sewaktu memberikan keputusan ujian para pelajarnya dengan rata-rata markah yang disebutkan bawah daripada angka 10.
Apa yang membuatkannya begitu kecewa adalah reaksi beberapa pelajar yang tergelak sewaktu mengetahui bahawa markah mereka begitu sedikit.
“Masih boleh senyum dan gelak dengan markah 0, seolah-olah tak ada apa-apa. Maafkan saya kerana gagal mendidik kamu semua” tulisnya di ruangan kapsyen.
@sirladang Masih boleh senyum dan gelak dengan markah 0, seolah-olah tak ada apa-apa. Maafkan saya kerana gagal mendidik kamu semua #sirladang #lecturerlife
Ujarnya lagi, peristiwa tersebut dianggap salah satu detik hitam sepanjang kerjayanya sebagai seorang tenaga pengajar yang sudah bertugas selama 16 tahun kerana merasakan seperti dia gagal untuk mendidik mereka.
Dapat juga dilihat pensyarah berkenaan mengesat air mata kerana betul-betul kecewa sewaktu menasihati pelajarnya yang sudah tentu datang dari pelbagai daerah dan negeri membawa harapan ibu bapa.
Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian ramai dan rata-rata mengakui sedih melihat sikap sesetengah pelajar yang sambil lewa dalam melakukan tugas yang diberikan.
Ada juga mengatakan bahawa mendidik generasi akan datang akan lebih mencabar memandangkan sikap dan adab sopan mereka semakin berkurang lebih-lebih lagi kepada orang yang lebih dewasa serta pendidik.
Sudah banyak kita dengar keluhan-keluhan daripada guru serta para pendidik di luar sana dalam memastikan anak bangsa mendapat ilmu sewajarnya.
Semoga mereka terus diberi ketabahan dan kesabaran dalam mengajar generasi muda walaupun pelbagai cabaran lebih besar bakal ditempuh.