Penjual ais teh yang dihina depan khalayak terima hadiah umrah dan wang tunai
Penjual ais teh yang dihina depan khalayak terima hadiah umrah dan wang tunai
Rahmat di sebalik dugaan. Itu terjadi kepada seorang penjual teh ais yang dipersendakan di khalayak oleh seorang penceramah dalam satu majlis yang mana video kejadian itu tular di media sosial, dilaporkan mendapat rezeki tanpa disangka berupa hadiah wang tunai serta tiket umrah percuma.
Kisah penjual teh ais bernama Sunhaji itu trending sebelum ini apabila penceramah Gus Miftah, 43, yang juga Utusan Khas Presiden Indonesia, Prabowo mempersendakannya, memalukannya dan dihina sebagai bodoh.
Suara.com melaporkan video ketika Sunhaji diusik Gus Miftah menjadi tular selepas ditonton jutaan kali di media sosial, turut mendapat simpati pelbagai golongan seperti tokoh Nahdatul Ulama (NU), biro pakej umrah, netizen dan pempengaruh, dengan mereka segera berhasrat membantu Sunhaji.
Ulama muda, Ustaz Muhammad Fakhrurrazi Anshar menerusi akaun Instagram peribadinya bercadang memberikan tiket umrah percuma kepada Sunhaji.
“Bismillah, hadiah umrah awal Ramadan untuk penjual teh ais. Insya-Allah saya akan membimbingnya secara langsung.
“Alhamdulillah, kami dapat menghubungi anaknya dan jirannya. Mohon doa yang terbaik dari sahabat semua, agar niat murni ini mendapat keredaan dari Allah SWT,” tulis Ustaz Fakhrurrazi.
Pempengaruh dan pencipta kandungan Willie Salim pula memberi ‘pampasan’ 100 juta rupiah (kira-kira RM27,899) kepada Sunhaji.
Reaksi penjual teh ais yang seperti merasakan menerima timbunan wang adalah menangis terharu, sambil menyatakan merancang menggunakannya untuk membuka gerai serta membayar tunggakan yuran sekolah tanggungannya.
Kisah balasan baik terima Sunhaji selepas menjadi bahan penghinaan turut tular di media sosial.
Dilaporkan, Gus Miftah sudah bertemu Sunhaji di kediamannya dan membuat permohonan maaf terbuka, dengan disaksikan isteri dan tetamu lain.
“Dengan kerendahan hati, saya meminta maaf atas kekhilafan saya. Saya memang sering bergurau dengan sesiapa pun. Walau bergurau, saya tetap memohon maaf,” jelas Gus Miftah dalam sebuah video yang dilaporkan Kompas.