Penjenayah rempuh palang tol elak diperiksa polis

Penjenayah rempuh palang tol elak diperiksa polis

Polis menemui peralatan memecah rumah selain matawang asing sebaik menahan sebuah Proton Iriz yang memecut ketika diperiksa di Kilometer 188, Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan, jam 7 pagi semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat berkata, ketika meronda di lebuh raya di kawasan Bandar Baru-Changkat Jering, anggota MPV terserempak dengan kereta terbabit yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran Proton Iriz itu menggunakan nombor pendaftaran sebuah motosikal.

“Sebaik dihampiri untuk diperiksa, kereta dinaiki dua lelaki itu terus memecut dan merempuh palang Plaza Tol Alor Pongsu,” katanya hari ini.

Menurut beliau, ketika dikejar, kereta terbabit terbabas dan merempuh sebuah van di tepi jalan di sekitar Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu.

Katanya, seorang daripada suspek dapat ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Suspek kedua pula dapat melarikan diri.

“Siasatan mendapati, suspek berusia 44 tahun dan berasal dari Chemor itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan pecah bangunan dan dadah selain dikehendaki polis.

“Kami turut menemui peralatan pecah rumah, beg duit mengandungi matawang asing serta alatan menghisap dadah,” katanya.

Suspek kini direman dan usaha mengesan rakan jenayah suspek masih berjalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/658851/penjenayah-rempuh-palang-tol-untuk-larikan-diri