Penjawat awam wajib vaksin sebelum 1 November atau berisiko dibuang kerja
JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan penjawat awam untuk mengambil suntikan vaksin dan segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.
JPA dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.
“Jadi, sekiranya penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.
“Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].
“PU(A) 395/1993 memperuntukkan tujuh hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja,” kata kenyataan itu.
JPA turut memaklumkan penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).
Jelasnya, jumlah penjawat awam yang tidak mendapatkan vaksinasi adalah kecil dan berikutan itu JPA mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
“Ini juga selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Sumber: Malaysiapost