Penjawat awam antara 31 kaki judi laga ayam ditahan polis

Penjawat awam antara 31 kaki judi laga ayam ditahan polis

Seorang penjawat awam antara 31 kaki judi laga ayam yang ditahan dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, dalam serbuan yang dibuat bermula jam 3.00 petang sehingga 5.00 pagi itu, pihaknya turut merampas 32 ekor ayam sabung termasuk lima ekor yang telah mati.

Ia termasuk wang tunai dan pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai RM 150,000 yang digunakan untuk tujuan judi laga ayam.

” Dalam serbuan itu pihak polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM 91,570 dipercayai digunakan dalam pertaruhan itu.

” Difahamkan setiap pertaruhan atau pemain mempertaruhkan RM 11,000 untuk perlawanan laga ayam di dalam gelanggang dan itu tidak termasuk pertaruhan di luar gelanggang oleh penonton.

“Semasa intipan dan serbuan dilakukan terdapat lebih 150 kaki judi berada di lokasi itu namun hanya 31 individu berjaya ditahan manakala selebihnya berjaya meloloskan diri katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPD Kerian, pada Isnin.

Ujarnya lagi semua tangkapan yang berusia antara 27 hingga 68 tahun bersama barangan kes dibawa ke IPD Kerian untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran judi laga ayam yang dibuat di dalam ladang kelapa sawit itu.

“Difahamkan penganjurnya bukan penduduk tempatan manakala lokasi judi ini dibuat di dalam ladang kelapa sawit yang tidak diketahui pemiliknya, yang terletak hampir empat kilometer dari jalan utama.

“Pihak polis juga telah lama memantau dan kegiatan ini yang dikatakan telah beroperasi semenjak November lalu, namun lokasinya sering berubah-ubah,”katanya.

Mazuki berkata suspek kini direman selama tiga hari sehingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 3 (1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 dan Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Sumber: https://www.suaraperak.com/polis-tahan-31-kaki-judi-laga-ayam/