‘Penjaja rambo’ warga asing kaut untung RM3k sehari hanya jual bunga

‘Penjaja rambo’ warga asing kaut untung RM3k sehari hanya jual bunga

 

Kawasan segi tiga emas di Jalan Bukit Bintang di sini terus menjadi sasaran peniaga warga asing untuk menjalankan perniagaan secara haram.

Terbaharu mereka dikesan menjadi peniaga jalanan haram atau digelar ‘penjaja rambo’ dengan menjual pelbagai barangan hiasan, bunga, permainan kanak-kanak, belon dan hiasan berlampu di sekitar kawasan terbabit yang menjadi tumpuan pelancong.

Tinjauan wartawan mendapati kebanyakan ‘penjaja rambo’ itu berasal dari Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Indonesia.

Mereka didapati mengaut keuntungan sehingga ratusan ringgit setiap malam tanpa perlu menyewa premis dan membayar lesen perniagaan.

Keuntungan mudah itu menyebabkan mereka mula ‘menguasai’ kawasan berkenaan terutama ketika cuti hujung minggu.

Menurut Harian Metro, wartawan berkesempatan menemubual seorang penjaja kuntuman bunga yang mengesahkan mereka mampu menjual antara 100 hingga 200 bunga pada cuti hujung minggu.

Lelaki yang berasal dari Bangladesh itu berkata, dia mula berniaga dari jam 5 petang di kawasan pusat beli-belah Pavilion sehingga ke Jalan Conlay.

“Satu bunga dijual dengan harga RM15, memang di sini ramai orang terutama pelancong asing, mereka tidak tahu kami ini warga asing.

“Kami akan berjalan kaki di kawasan tumpuan orang ramai, di sini memang jarang operasi dan kalau ada operasi, kami akan lari pulang ke rumah memandangkan kami hanya tinggal di kawasan berhampiran,” katanya.

Sementara itu, seorang penjaja wanita dari Filipina mengakui dia memperoleh keuntungan yang tinggi dengan menjual belon berlampu.

“Kawasan ini memang ramai pengunjung dan jarang diawasi pihak berkuasa, tidak seperti di Dataran Merdeka yang seringkali diserbu. Kami di sini lebih selamat dan mudah memperoleh keuntungan.

“Saya sudah tiga bulan menjaja di kawasan ini dan tidak pernah sekali pun dihalang, awak ini dari mana dan kenapa tidak membenarkan kami berniaga?” kata wanita itu yang dilihat tidak selesa dengan soalan yang diajukan wartawan.

Tindakan kumpulan peniaga jalanan ini dilihat mencabar pihak berkuasa apabila mereka tidak mempunyai lesen selain menyebabkan gangguan halangan dan kebersihan di laluan awam utama.

Selain itu, ‘penjaja rambo’ ini juga menjejaskan aktiviti penjaja berlesen yang turut menjalankan perniagaan di sekitar lokasi berkenaan.