Penjaga gol Perak FC tarik balik saman RM5 juta
Penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menarik kembali tuntutan saman fitnah RM5 juta ke atas seorang penyokong yang mengaitkan dirinya dengan insiden kibar bendera Perak separuh tiang di Stadium Perak seperti tular di media sosial sejak kelmarin.
Ia berikutan penyokong terbabit yang mahu dikenali sebagai Wan, 30, bersetuju membuat permohonan maaf terbuka melalui sidang media khas mengenai isu itu di bilik mesyuarat Stadium Perak, di sini, petang tadi yang turut dihadiri oleh Hafizul.
Hafizul berkata, beliau mahu isu ini diselesaikan secepat mungkin dan tidak mahu memanjangkan lagi memandangkan penyokong itu tampil memohon maaf secara terbuka selain isu berkenaan membabitkan sensitiviti berkenaan institusi diraja.
“Saman yang dikemukakan adalah selepas mendapat nasihat daripada pegawai atasan serta polis yang mengawal stadium. Sebelum laporan dan saman dibuat, saya ada cuba menghubungi Wan melalui mesej namun kesemuanya mesej itu tidak dibalas, mungkin pada mulanya dia ingat saya main-main.
“Memang niat saya mengemukakan saman itu pada mulanya untuk gertak dia keluar, berhadapan sendiri dengan saya. Saya terpaksa berbuat demikian, tiada niat untuk membuka aib atau menjatuhkan maruahnya.
Tambahan pula selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC malam ini, saya pun tidak tahu ke mana hala tuju saya seterusnya, sebab itu kalau boleh saya tidak mahu ada isu dengan mana-mana individu atau penyokong lain di Perak,” katanya.
Hafizul bagaimanapun berkata laporan polis berhubung penafian mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tidak akan ditarik balik kerana merasakan perkara itu masih dalam siasatan polis.
Sementara itu, Wan berkata beliau mengaku bersalah, membuat tuduhan berkenaan walaupun pada mulanya dibuat dengan niat bergurau memandangkan sudah lama mengenali Hafizul sebagai pemain Perak.
Katanya, sebaik membaca berita mengenai tuntutan saman Hafizul semalam, dia terus menghubungi Hafizul selain selepas dinasihati beberapa kenalan untuk menyatakan hasrat bertemu bagi selesaikan masalah ini. “Saya hanya buat gurauan tanpa berfikir panjang dan tak sangka gurauan itu dipandang serius oleh Hafizul selain memainkan sentimen yang bukan biasa-biasa. Saya mohon maaf kepada semua jika ada yang rasa marah atas tuduhan itu.
“Alhamdulillah di pihak Hafizul sendiri beliau menerima permohonan maaf saya dan setuju tidak meneruskan saman berkenaan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Hafizul Hakim akan mengemukakan tuntutan saman RM5 juta ke atas seorang penyokong kerana mengaitkan dirinya dengan insiden kibaran bendera Perak separuh tiang yang berlaku malam kelmarin.
Isu berkenaan tular dan menimbulkan kemarahan penyokong lain yang mengaitkan insiden bendera separuh tiang itu dengan isu boikot pemain pada sesi latihan susulan isu tunggakan gaji pemain Perak FC. – BH