Minta lupakan tagline ‘berayaq’, peniaga donut susu mahu anjur solat Subuh berjemaah
Minta lupakan tagline ‘berayaq’, peniaga donut susu mahu anjur solat Subuh berjemaah.
Peniaga donat yang tular menjadi bahan kecaman netizen kerana teknik pemasaran yang kurang sopan dan tidak sensitif telah memohon maaf kepada umum baru-baru ini. Susulan itu, dia berhasrat untuk menganjurkan program solat subuh berjemaah.
Memetik laporan mStar Online, tujuan peniaga lelaki itu manyatakan hasrat tersebut adalah sebagai usaha memperbaiki diri dan kekhilafannya sebelum ini.
Malah dia juga menyarankan pengikutnya lebih-lebih lagi golongan muda untuk sentiasa berselawat serta berzikir.
“Bukan abang nak main isu agama, abang nak adik tunjuk kepada cikgu, kawan, mak ayah bahawa ada perkara baik yang adik follow (ikut) dari abang.”
“InsyaAllah suatu hari ada rezeki, abang bersama rakan nak buat subuh berjemaah untuk adik-adik semua. Dekat masjid mana nanti kami akan maklum. Kita akan sama-sama merancakkan suasana islamik itu.”
Jelas lelaki itu, dia tidak jahil agama seperti dakwaan orang ramai terhadapnya.
“Kami bukan jahil. Lillahi Ta’ala. Kalau orang itu tak tahu agama dia takkan tahu serba serbi berkaitan agama. Kami tahu serba serbi agama, kami minta maaf mengenai perkara sebelum-sebelum ini.”
“Kami minta maaf, jangan anggap kami minta maaf tak ikhlas. Jangan sebut dah perkataan ‘berayaq’ tu. Abang faham hangpa bergurau, melawak tetapi dalam melawak tu orang salah tafsir.”
“Jangan cakap dah (‘berayaq’), lepas ni cakap ja Subhanallah. Abang bukan sindir tetapi nak kita buat pahala.”
Sebelum ini, teknik pemasaran donat berayaq ini telah dikecam teruk oleh orang ramai. Ia menerusi video yang memperlihatkan peniaga menyebut perkataan ‘cirit’ sambil melakukan aksi tak senonoh terhadap makanan yang dijualnya.