Peniaga rugi RM9,500 rumah kena pecah masuk ikut bumbung

Peniaga rugi RM9,500 rumah kena pecah masuk ikut bumbung

 

Sepasang suami isteri mengalami kerugian kira-kira RM9,500 selepas rumah mereka dipecah masuk dipercayai melalui bumbung oleh seorang lelaki dalam kejadian di Ampang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Azam Ismail berkata kira-kira jam 10 pagi pasangan tersebut telah meninggalkan rumah untuk berniaga di Jalan Ampang.

Jelasnya, semasa mangsa balik daripada berniaga pada pukul 3 petang dan memasuki rumahnya, mereka mendapati ruang tamu sedikit berselerak dan bilik pintu utama terkunci dari dalam.

“Apabila mangsa berjaya memasuki bilik menggunakan kunci pendua, barangan dalam keadaan berselerak dan siling terbuka

“Siasatan awal mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang suspek lelaki tidak dikenali berada di atas bumbung rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, suspek dipercayai memecah masuk melalui bumbung dan memecahkan siling untuk ceroboh rumah mangsa.

“Beberapa barangan berharga milik pengadu telah hilang antaranya barangan barangan kemas bernilai RM7,000 dan wang tunai sebanyak RM2,500 dan anggaran kerugian keseluruhan RM9,500.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi balai berdekatan bagi salurkan maklumat,” ujarnya.