Peniaga niat sedekah, jual durian IOI dengan harga RM5 sekilogram

Peniaga niat sedekah, jual durian IOI dengan harga RM5 sekilogram

 

Gerai durian di Jalan Kebun Tambahan di sini dilihat menjual raja buah termasuk jenis IOI dengan harga serendah RM5 hingga RM10 sekilogram apabila menerima banyak bekalan.

Gerai dipanggil Durian Brother’s dari Tangkak, Johor itu sudah sinonim menjual pelbagai jenis durian bermutu tinggi dan durian kampung di tepi jalan di laluan sibuk berkenaan sejak lebih lima tahun.

Pemiliknya, Shahrul Hatta Mat Wahab, 34, berkata, mereka menjual durian pada harga RM15 sehingga RM55 sekilogram, namun menjadi lebih murah apabila tiba penghujung musim.

Menurutnya, pada penghujung musim biasanya banyak durian diterima saiznya agak kecil berbanding pada awal musim jadi raja buah itu tidak dapat dijual secara timbang bagi setiap biji.

“Kalau kita dapat murah kita jual murah dan tempoh hari kami terima bekalan buah durian jenis IOI pada harga RM22 sekilogram (beli di kebun) tetapi kami lelong IOI RM5 hingga RM10 sekilogram sahaja.

“Kebetulan buah gugur (diterima) pada hari itu terlalu banyak dan jenis IOI ini tidak dapat bertahan lama jadi kami perlu jual murah elak ia akhirnya rosak juga dengan niat untuk bersedekah,” ujarnya.

Menurut Sinar Harian, Shahrul yang menetap di Teluk Panglima Garang ditemui di gerainya di Jalan Kebun Tambahan itu mula terlibat dalam perniagaan menjual durian bermula sejak 2016 sehingga kini.

Antara jenis durian yang dijual bapa kepada lima anak itu termasuklah musang king, udang merah, D24, XO dan durian kampung selain durian jenis IOI bergantung bekalan diterima.

Dalam pada itu, musim durian dijangka berakhir penghujung Julai ini sebelum tiba musim durian seterusnya, namun Shahrul akan mengekalkan jualan harga berpatutan malah lebih rendah.

“Jika kami menerima bekalan yang yang banyak harga durian dijual akan menjadi lebih murah sedikit dan biarlah, kalau murah semua orang boleh merasa, kita sama sama berkongsi rezeki,” ujarnya.