Peniaga kecil yang tidak mencarum KWSP perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2021

Peniaga kecil yang tidak mencarum KWSP perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2021

Golongan yang tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diberikan tumpuan dalam Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, golongan berkenaan juga ramai terutama peniaga kecil.

Menurutnya, hampir kesemua peniaga kecil yang membuka gerai di tepi jalan tidak mencarum KWSP menyebabkan mereka tidak dapat menerima manfaat yang diumumkan kerajaan.

“Kita sangat berharap Bajet 2021 kali ini dapat merangsang ekonomi. Golongan peniaga kecil ini perlu dibantu sama ada melanjutkan tempoh moratorium atau bantuan lain yang sesuai.

“Peniaga ini perlu terus memastikan perniagaan berjalan bukan sahaja untuk diri sendiri malah pekerja yang bergantung harap dengan pendapatan di gerai-gerai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Back to School 2021 di Zamita Enterprise di sini hari ini.

Razman berkata, golongan B40 juga perlu diberikan perhatian khusus untuk memastikan mereka terus berdaya saing dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Razman turut membantu menyarung pakaian kepada penerima terpilih pada Maljis Penyerahan Bantuan Back to School 2021 di Zamita Enterprise, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) diwujudkan di daerah Kerian kerana hampir semua daerah di negeri ini mempunyai SBP atau universiti.

Menurutnya, terdapat daerah yang mempunyai lebih daripada dua SBP sedangkan di daerah Keriann hanya mempunyai asrama sekolah harian.

“Daerah Kerian mencatatkan keputusan cemerlang setiap tahun malah merupakan daerah kedua terbaik di negeri ini dalam bidang pendidikan. Jadi saya fikir perlu ada sekurang-kurangnya satu SBP di daerah itu.

“Cadangan ini kita telah kemukakan sebelum ini malah memang kita ada masukkan pembinaan SBP di Kerian untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) nanti,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai program Back to School, Razman berkata, seramai 300 pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol dipilih menerima bantuan persekolahan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, setiap pelajar menerima RM80 untuk membeli kelengkapan persekolahan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM24,000.

Katanya, program tersebut dibuat secara berperingkat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sumber: Sinar Harian