Peniaga didakwa beri rasuah RM126,500 kepada pegawai TNB

Peniaga didakwa beri rasuah RM126,500 kepada pegawai TNB

 

Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM126,500 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), pada 28 Februari lalu.

Tertuduh, Ding Ai Sing, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Ding didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah RM126,500 kepada pegawai TNB melalui seorang lelaki sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di sekitar Lembah Klang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di M Roof Hotel & Residences, Pusat Perniagaan Taman Ipoh, Jalan Dato’ Lau Pak Kuan pada jam 10.53 pagi, 28 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh di hukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, pada lokasi dan masa yang sama, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan pilihan memberi suapan kepada pegawai TNB itu sebagai dorongan untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di sekitar Lembah Klang.

Bagi pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama Akta yang sama.

Jika didapati bersalah, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai seperempat daripada tempoh penjara yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh pula diwakili peguam Akmal Jusoh.

Terdahulu, Maziyah menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin terhadap tertuduh memandangkan ia adalah kes yang serius serta terdapat kemungkinan Ding melarikan diri.

“Selain itu syarat tambahan perlu dikenakan iaitu pasport ditahan di mahkamah serta tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM.

Bagaimanapun, Akmal memohon jaminan dikenakan terhadap anak guamnya dikurangkan memandangkan keluarga hanya mampu membawa RM50,000 berikutan akaun sudah disita.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepad amahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Ipoh pada setiap hari Sabtu pertama setiap bulan.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 April hadapan.