Peniaga dedah mampu jual nasi lemak RM1 sehingga 1,700 bungkus sehari

Peniaga dedah mampu jual nasi lemak RM1 sehingga 1,700 bungkus sehari

 

Bermula dengan hanya 400 bungkus nasi lemak yang dijual pada harga RM1, kini seorang peniaga mampu menjual sehingga 1,700 bungkus sehari.

Safiah Azlan, 32, dari Kampung Rusila, di sini, berkata, dia menceburi bidang jualan makanan sejak 14 tahun lalu namun melihat kepada kuasa beli semakin menurun membuatkan dia mencari alternatif lain.

Menurutnya, dengan peningkatan harga barang dia nekad untuk menongkah arus dengan menjual sebungkus nasi lemak dengan harga RM1 dan permulaan dia mampu menjual sebanyak 400 bungkus.

Katanya, minggu berikutnya permintaan semakin melonjak kepada 700 hingga 800 bungkus dan dia tidak menyangka sejak menjual dengan harga RM1 bermula bulan Oktober tahun lalu permintaannya semakin tinggi.

“Sekarang jualan mencecah 1,500 hingga 1,700 bungkus setiap hari dan bagi menampung permintaan saya menggunakan 80 hingga 100 kilogram beras setiap hari.

“Walaupun margin keuntungan kecil namun saya tetap berpuas hati kerana dalam tempoh tujuh jam atau kurang dia mampu menghabiskan jualan,” katanya yang mempunyai 10 orang pekerja.

Menurutnya, untuk menyerap kos gaji pekerja dia perlu menjual nasi lemak RM1 berlaukkan ikan bilis, telur dan timun lebih daripada 1,000 bungkus setiap hari.

Katanya, selain pelanggan setempat dia turut menerima kunjungan pelanggan luar antaranya daripada Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan sebagainya.

Safiah berkata, bagi menjamin nasi lemak yang dimasak sentiasa dalam keadaan panas, dia menggunakan kaedah memasak secara berperingkat bermula 3 petang hingga ke malam.

“Permintaan boleh mencecah hingga 2,000 bungkus sehari namun untuk menyediakan dalam jumlah itu amat meletihkan dan saya buat masa ini mengehadkan sehingga 1,700 bungkus sahaja.

“Alhamdulillah, walaupun letih kerana perlu menyediakan nasi lemak dalam jumlah yang banyak namun saya berpuas hati kerana maklum balas pelanggan amat positif terhadap harga dan rasa makanan.

“Selain ‘menu killer’ nasi lemak RM1 yang sudah mendapat sambutan ramai, saya kemudian memperkenalkan hidangan barat hanya serendah RM5.

“Tidak cukup dengan itu, mi kari dan laksa juga saya jual dengan harga RM5 namun kuantiti bahan di dalam menu itu saya lebihkan bagi memuaskan hati orang yang memakannya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap dengan usaha kecilnya itu dapat membantu orang ramai untuk mendapatkan nasi lemak dengan harga yang lebih murah.

Katanya, pengalaman berkecimpung dalam bidang jualan makanan sejak 14 tahun lalu membolehkan dia mengekalkan keenakan makanan walaupun dijual dengan harga murah.

“Saya masak dengan seikhlas hati, saya jaga rasa dan bahan yang dimasak supaya menepati cita rasa pelanggan dan ia tidak boleh dibuat ala kadar.

“Walaupun harga yang dijual murah namun bahan yang diletakkan di dalam masakan adalah sama seperti yang dijual dengan harga RM3 atau RM4 sebungkus,” katanya.