Peniaga baja didenda RM100 ribu kerana beri suapan kepada penjawat awam

Peniaga baja didenda RM100 ribu kerana beri suapan kepada penjawat awam

 

Peniaga baja didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi suapan wang tunai kepada penjawat awam, empat tahun lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid turut menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh, Lee Soon Teck, 53, gagal menjelaskan denda berkenaan.

Lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dibacakan iaitu secara rasuah memberi suapan wang tunai berjumlah RM30,150 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia (penjawat awam) iaitu Pembantu Penguatkuasa Muhammad Fithry Hassan yang bertugas di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya.

Suapan itu sebagai satu balasan untuk melepaskan tertuduh daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Premis Guan Choon, Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar pada jam 10.30 pagi 8 Oktober 2018.

Pertuduhan pilihan itu dibaca mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam V. A. Kailashii.

Sebelumnya, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

M Bakri turut memerintahkan wang tunai bernilai RM30,150 yang juga wang suapan rasuah dalam kes ini dilucuthakan kepada Kerajaan Malaysia iaitu mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya, hari ini.