Peniaga asing ‘ambil alih’ dua lokasi di Ipoh
Peniaga asing di Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Dato Onn Jaafar di kawasan pekan baru di sini menggunakan papan tanda tertera tulisan dalam bahasa Nepal di kedai mereka dengan tujuan menarik pelanggan dari negara itu.
Seorang peniaga, Ismail Amin, 30, berkata, warga tempatan jarang dilihat berkunjung ke kedai runcit terutama restoran yang diusahakan mereka ekoran perbezaan cita rasa.
“Sebelum ini, kedai-kedai itu diuruskan penduduk tempatan namun sejak beberapa tahun ini diambil alih oleh warga Nepal. Mungkin mereka sewa daripada pemilik asal.
“Ada juga kedai beroperasi di tingkat atas dengan terdapat papan tanda kecil dalam bahasa Nepal dipasang di pintu jeriji besi menuju ke tangga. Pelanggan adalah orang mereka sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Ismail, dia tidak pasti sama ada aktiviti perniagaan warga Nepal itu dijalankan secara sah atau tidak kerana dasar kerajaan jelas tidak membenarkan warga asing memiliki lesen perniagaan.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas pemilik premis sekiranya mereka didapati menyewa atau memindah milik lesen perniagaan kepada warga asing.
“Kedai-kedai ini telah lama beroperasi, papan tanda menggunakan bahasa Nepal pun telah lama dinaikkan. Setakat ini, seperti tiada apa pun tindakan ke atas mereka,” katanya.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Khan, 70, berkata, dia percaya lesen perniagaan yang digantung di premis dikendalikan warga asing itu sebenarnya adalah milik orang tempatan.
Dakwanya, tindakan sukar diambil ke atas warga asing itu kerana mereka berselindung di sebalik warga tempatan dengan mengaku sebagai pekerja.
“Memang mereka tidak boleh memiliki lesen perniagaan tetapi daftar perniagaan jenis sendiran berha itu bersama warga tempatan.
“Apabila penguat kuasa menjalankan operasi, warga tempatan ini tiba-tiba muncul dan maklumkan itu kedai mereka manakala warga asing itu adalah pekerja sedangkan semua orang tahu yang menjalankan perniagaan itu warga asing,” katanya.
Menurutnya, selain menyewa lesen perniagaan daripada warga tempatan, ada juga yang membuka perniagaan dengan menggunakan nama isteri yang merupakan orang tempatan.
Katanya, terdapat beberapa kedai di kawasan itu menggunakan taktik sama dan dengan dokumen sah yang dimiliki, tiada sebab untuk golongan itu takut menjalankan operasi perniagaan. – Utusan