Pengusaha industri pelancongan dibantu

Pengusaha industri pelancongan dibantu

Sebanyak 565 buah hotel berdaftar di negeri ini akan dikecualikan bayaran pembaharuan lesen menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing bagi membantu meringankan kesan yang diterima berikutan penutupan sektor ekonomi tersebut ketika ini.

Pengecualian bayaran lesen ini melibatkan kehilangan pendapatan pada pihak PBT kira-kira RM448,000.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, selain itu kerajaan negeri juga bersetuju memberikan bantuan kewangan secara one-off kepada pemain-pemain industri pelancongan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera 2021.

Menurut beliau, sebanyak RM3,000 akan disalurkan kepada Persatuan Hotel Malaysia Negeri Perak (MAH Perak) yang akan memberi manfaat kepada 80 ahli dengan perbelanjaan sebanyak RM240,000.

“Bantuan RM2,000 pula diberikan kepada Persatuan Umrah, Haji dan Ziarah (Puhaz) yang akan memberi manfaat kepada 35 ahli dengan perbelanjaan sebanyak RM70,000.

“Pengurusan Inap Desa turut mendapat bantuan khas RM2,000 melibatkan perbelanjaan sebanyak RM22,000,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Sebagai tanda keprihatinan, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan RM500 kepada pemandu bot pelancongan dengan 400 penerima melibatkan perbelanjaan RM200,000.

Dalam pada itu kata Saarani, pengecualian bayaran sewa turut diberi kepada 24 penghuni Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Program Perumahan Rakyat (41) di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) selama sebulan bagi bulan Jun.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memberikan moratarium bayaran balik pinjaman Rumah Harapan kepada 69 penerima, Skim Rumah Insan Amanjaya (443 penerima) dan sewa beli program RPA (690 penerima) untuk tempoh sebulan bagi bulan Jun,” ujarnya.

Sumber: Kosmo