“Tak kena tekak, apasal tak wassap direct” – Pengusaha gerai makan kesal pelanggan ‘menyalak’ di media sosial
“Nak tanya memang zaman sekarang pelanggan kalau jenis tak kena tekak bila pergi kedai makan akan menyalak dekat grup Facebook?”
Demikian sindiran sebuah gerai makanan di sini terhadap seorang pelanggannya kerana mengkritik makanan disediakan di premis berkenaan di media sosial.
Laman Facebook gerai berkenaan dalam satu hantaran berkata, pelanggan terbabit sepatutnya menghubungi terus premis berkenaan untuk mengemukakan sebarang aduan.
“Kenapa tak boleh WhatsApp kami terus atau adukan terus dekat kami supaya kami boleh bagi bayaran balik penuh?
“Rasa memang perangai macam ini kot jenis suka menyalak dekat Facebook Community,” kata laman Facebook berkenaan, semalam.
Namun, orang ramai menzahirkan pendapat berbeza berhubung perkara itu dengan sebahagian menyokong kenyataan gerai tersebut, manakala segelintir berpendirian sebaliknya.
Nabila Aisya menulis di ruangan komen, pemilik gerai tersebut sepatutnya berlapang dada menerima sebarang aduan walaupun ia dibuat di media sosial.
“Tak kisah la terus ke pemilik atau media sosial. Pemilik seharusnya ambil keluhan sebagai sesuatu untuk ditambah baik, bukan buka laluan untuk orang lain kecam juga. Terima dan perbaiki,” katanya.
Ismail Pakir pula berkata, memang sukar untuk memuaskan hati semua orang, tetapi jika kritikan tersebut benar maka perlu diperbaiki kelemahan supaya dapat pujian.
Bagi Hall No Meen, pelanggan yang suka membuat kritikan di media sosial merupakan golongan yang laparkan perhatian dan lebih suka mengeruhkan keadaan berbanding berbincang.
Iman Alfiesha berpendapat, pelanggan sepatutnya membuat aduan kepada pemilik gerai terlebih dahulu sebelum membuat kritikan di media sosial jika tiada penambahbaikan dilakukan.
“Dah jatuhkan rezeki orang sedangkan makanan lain ada, bukan setakat ‘fish n chip’,” katanya.