Pengunjung KLIA terkejut harga dua nasi lemak ayam RM63.10
Umum ramai mengetahui harga makanan di lapangan terbang sedikit mahal berbanding di tempat lain.
Bagaimanapun seorang lelaki berkunjung ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) tidak menyangka dia perlu membayar RM63 untuk dua bekas nasi lemak ayam.
Menerusi hantaran Facebook Nav Nair, dia terkejut apabila melihat makanan yang diterimanya tidak setimpal dengan harga yang dibayar.
Dalam gambar yang dikongsikannya, dia dihidangkan dengan nasi lemak, kacang, ayam goreng, ikan bilis goreng dan sebekas sambal.
“Saya okay dengan harga premium anda tetapi sekurang-kurangnya biarkan makanan kelihatan premium. Adakah ini benar-benar berbaloi dengan harganya?,” ujar Nav Nair.
Rata-rata netizen turut memberikan komen yang serupa. Bagaimana peniaga boleh mengenakan caj yang mahal untuk sebungkus nasi lemak yang nampak tidak menyelerakan.
Sehubungan itu orang ramai meminta pihak pengurusan memantau harga-harga yang diletakkan oleh peniaga dalam KLIA.