‘Pengkid’ pakai ihram di Mekah berpakaian lelaki sejak kecil

‘Pengkid’ pakai ihram di Mekah berpakaian lelaki sejak kecil

 

Tindakan seorang wanita berihram ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci yang tular sejak dua minggu lalu disifatkan sebagai mementingkan diri serta tidak memikirkan perasaan ahli keluarganya.

Menurut salah seorang jiran sekitar kediaman keluarga wanita yang berpakaian lelaki tersebut, dia mengetahui perkara itu selepas melihat media sosial dan berasa simpati ke atas nasib jirannya itu.

Dia yang enggan namanya didedahkan berkata, kediaman ibu bapa wanita itu berkenaan sunyi sejak kes anak mereka menjadi tular dan sehingga hari ini dia hanya melihat mereka pulang sebentar sahaja sebelum keluar semula dengan tergesa-gesa.

“Sejak kejadian itu saya rasa mereka ada balik sekali dua sahaja yang saya lihat tetapi mereka tidak tinggal lama seolah-olah tergesa-gesa dan kasihan saya melihatnya.

“Selain itu, ramai juga pihak berkuasa serta dari jabatan kerajaan berkunjung ke kediaman tetapi rumah tersebut memang kosong, tiada orang semasa mereka datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Desa Bayu, Gelong Pepuyu, Bota di sini hari ini.

Menurutnya, wanita berkenaan dikatakan berperwatakan seperti lelaki sejak kecil dan sering memakai seluar serta kemeja-T ke mana-mana sahaja.

“Saya sudah menetap di sini hampir 24 tahun. Keluarga mereka berpindah ke sini sudah belasan tahun dan sepanjang waktu itu, dia memang kelihatan seperti lelaki serta bekerja di Kuala Lumpur.

“Kali terakhir saya jumpa dia adalah semasa neneknya meninggal dunia, dia ada pulang dengan berselendang dan saya memang terkejut apabila melihat video dia di Mekah dengan pakaian macam itu,” katanya, lapor Kosmo.