Pengkaji temukan laluan zaman purba berusia lebih 100 tahun

Pengkaji temukan laluan zaman purba berusia lebih 100 tahun

Kajian sebuah persatuan warisan mendapati, wujudnya laluan zaman purba yang menghubungkan dua kampung di kawasan selatan Gunung Lanno, Simpang Pulai di sini yang dipercayai digunakan penduduk pada lebih 100 tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (Geonat) Mohd Fadly Md Noor berkata, pihaknya menjelajah kawasan berkenaan selepas menerima maklumat daripada penduduk setempat, kira-kira tiga bulan lalu.

“Kami dipanggil untuk membuat kajian dan selepas melakukan explorasi berdasarkan peta topografi lama yang diterbitkan pada 1916, kami menemukan kesan-kesan laluan yang pernah digunakan pada zaman dahulu.

“Antara penemuan kami termasuklah terowong panjang dan struktur batu berbentuk tangga di dalam gua,” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan berkenaan.

Beliau berkata laluan itu dipercayai digunakan bagi menghubungkan antara dua perkampungan, iaitu Teluk Kangor dan Serba Jadi ketika zaman Propaganda British di Tanah Melayu pada Zaman Perang Dunia Pertama, namun kebanyakan kawasan kampung itu kini sudah berubah menjadi kawasan perindustrian.

Jelasnya, hasil penemuan itu akan dibentangkan kepada pihak-pihak berkaitan, bagi membolehkan kajian lanjut dijalankan dengan lebih terperinci di lokasi yang diwartakan sebagai zon kuari, di bawah pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah berkenaan.

“Selain itu, terdapat keunikan pada kawasan terbabit yang kami percaya berpotensi untuk dimajukan menjadi pusat konservasi, malah sesuai dijadikan lokasi aktiviti seperti berkayak atau lokasi pelancongan, kerana terdapat kolam sedalam kira-kira dua meter (m) berkeluasan 200×200 m.

“Kajian lanjut boleh dijalankan pihak-pihak pengkaji sejarah atau institut pengajian tinggi, kerana kami mendapati terdapat kawasan kolam air berbentuk H yang unik mengalir dari kawasan bukit,” katanya.

Mohd Fadly berkata, sekiranya kawasan itu dapat usahakan sebagai tempat tumpuan pelancong, ia bakal menjadi gua pertama dengan penyediaan aktiviti air, terutamanya berkayak di Perak.

Beliau berkata, pihaknya kini masih menjalankan kajian lanjut berkaitan struktur batu dan persekitaran kawasan gua itu, serta aspek-aspek keselamatan termasuk mengenal pasti masa sesuai untuk dikunjungi berdasarkan paras air dan faktor cuaca, bersama ahli-ahli persatuan yang turut terdiri daripada pakar selam, jururawat dan pasukan air terjun.

Geonat ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu dengan antara misi dan visinya adalah membangunkan ekopelancongan yang khusus di Perak.

Persatuan dengan 78 orang ahli itu, aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan penjelajahan di kawasan gua dan explorasi alam semula jadi, warisan serta geopark. – HM