Penghantar makanan dikompaun hanya kerana makan

Penghantar makanan dikompaun hanya kerana makan

Semua penghantar makanan yang dikompaun sebagaimana dinyatakan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam kenyataannya semalam adalah disebabkan mereka makan secara berkumpulan tanpa penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Sentul Eng Beng Lai berkata, sebanyak lapan kompaun dikeluarkan ke atas penghantar makanan e-panggilan berkenaan pada 1 Jun jam 10.25 pagi di sebuah taman permainan di Taman Segambut, Sentul.

Katanya, pada 2 Jun jam 3.55 petang sebanyak empat lagi penghantar makanan e-panggilan dikompaun di sebuah warung kosong yang tidak menjalankan perniagaan di tepi jalan di Batu 3, Jalan Ipoh, Sentul atas kesalahan sama.

“Semua mereka telah diberi nasihat supaya mematuhi SOP PKP, namun tidak diendahkan. Pihak polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta 342 untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19,” kata beliau dalam kenyataan.

Eng turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan tidak berkumpul sehingga menyukarkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.

Semalam, FMT melaporkan Ahli Parlimen Segambut itu merayu budi bicara pegawai penguat kuasa ketika mengeluarkan kompaun kepada pekerja e-panggilan.

Hannah dalam kenyataan berkata, terdapat enam penghantar makanan mengadu bahawa mereka dikompaun di dua lokasi berbeza ketika makan di tepi padang.

“Riders ini sememangnya tidak ada ruang kerja. Makan di tepi jalan? Tidak selamat,” katanya.

Sumber: FMT